KUCHING, 8 Okt: Lapangan Terbang di Sarawak dilengkapi 19 buah Pengesan Dadah Visual Segera (IVDD) sumbangan Kerajaan Sarawak bagi menangani isu wilayah yang kini dijadikan hab transit pengedaran dadah antarabangsa, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta bagi tujuan membeli IVDD dan kemudahan ‘handheld bag scatter’.
“Dengan adanya IVDD ini kita hanya perlu mengimbas mata menggunakan pengesan tersebut, dan kita dapat tahu sama ada individu itu terlibat dalam dadah tanpa ujian air kencing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Khas Narkotik anjuran bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan One Stop Committee Bagi menangani isu dadah dan substans di Sarawak pada hari Selasa.
Menurutnya pengesan itu membolehkan dadah dikesan dalam badan seseorang individu dalam masa 60 saat sahaja tanpa melakukan ujian air kencing.
Ayob menambah Kerajaan Sarawak turut membeli peralatan berteknologi tinggi seperti “Handheld Bag Scatter” dan “AI assistant Cargo Scanner Machine” yang memeriksa ‘hand carry luggage’ dan check-in luggage dengan lebih teliti bagi memastikan bagasi tersebut tiada bahan seludup seperti dadah.
“Kami yakin dengan kerjasama yang mantap antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kerajaan Sarawak, kita dapat menangani isu penyeludupan penagihan dadah dengan lebih berkesan dengan menggunakan peralatan teknologi terkini bagi menangani isu dadah di Sarawak,” jelasnya.- TVS