KUCHING, 8 Okt: Pemilihan nama KITA Fest sebagai acara anjuran Persatuan Pengerak Kemajuan Kota Padawan bertujuan membuktikan kesatuan hati rakyat Sarawak pelbagai bangsa dan agama dalam menikmati juadah makanan di bawah satu bumbung yang sama.
Pengerusinya, Albert Lee berkata, acara berbentuk pesta makanan ini mempunyai keunikan tersendiri berbanding pesta makanan lain kerana menampilkan hiasan lampu neon dan pesta ria.
Katanya lagi, pengunjung boleh memilih menikmati pelbagai juadah halal dan tidak halal dengan hampir 80 reruai yang menawarkan pelbagai juadah yang berbeza dan unik.
“Mengapa kita namakan (acara) ini sebagai KITA Festival adalah kerana kita mahukan seluruh dunia tahu mengenai Sarawak. Sarawak mempunyai banyak bangsa tetapi kita boleh duduk sekali (untuk menikmati makanan).
“Seperti di (acara) KITA Fest, ada bangsa Melayu, ada bangsa Iban, Dayak, Cina (dan) semua bangsa ada,” katanya lagi.
Albert berkata demikian ketika ditemui TVS pada perasmiannya acara Kita Fest dengan tema Malam Kita yang berlangsung di tapak Neon Trend Market di Kuching pada Isnin.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang dalam ucapan aluannya berkata, KITA Fest membawa semangat perpaduan di kalangan rakyat Sarawak.
Tambah beliau lagi, rakyat di Sarawak beruntung kerana perpaduan yang utuh membolehkan sifat toleransi, hormat menghormati diantara kepelbagaian kaum dapat dizahirkan menerusi sambutan secara bersama pelbagai acara termasuk acara KITA Fest.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii hadir menyempurnakan acara perasmian.
Hadir sama Leftenan Jeneral bersara, Datuk Stephen Mundaw dan Ahli Majlis Perbandaran Padawan, Cr Alvin Chong – TVS