PUTRAJAYA, 8 Okt: Jumlah keseluruhan kanak – kanak yang diselamatkan dalam operasi khas oleh pihak berkuasa terhadap rumah kebajikan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) ialah seramai 622 orang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, mereka telah diberi tempat perlindungan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya mendapatkan perintah mahkamah.
Kerajaan teliti masalah beban berganda malpemakanan kanak – kanak
Jelas beliau perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perkembangan terkini itu disampaikan oleh menteri bertanggungjawab dan Kesemua mereka ditempatkan di tempat perlindungan,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan lebih 300 kanak – kanak termasuk bayi hingga remaja berusia 17 tahun diselamatkan di beberapa rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan susulan siasatan polis terhadap organisasi berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mendedahkan ada dalam kalangan kanak – kanak yang diselamatkan turut menjadi mangsa dera, diliwat selain tidak diberi rawatan ketika sakit.
Dalam pada itu ditanya sama ada Jemaah Menteri membincangkan ajaran yang dibawa kumpulan terbabit sebagai sesat atau sebaliknya, Fahmi berkata perkara itu tidak berbangkit.
“Boleh rujuk juga dengan kenyataan oleh beberapa mufti yang telah mengeluarkan fatwa mengenai ajaran tersebut yang disahkan sesat.
“Untuk maklumat lanjut berhubung isu ini boleh rujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar,” jelasnya.
Sebelum ini, beberapa jawatankuasa fatwa negeri termasuk Perlis, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah mengisytiharkan GISB dan sekutunya sebagai menyeleweng daripada akidah Islam. -TVS.