MIRI, 8 Okt: Dua vesel nelayan Vietnam dianggarkan bernilai RM4 juta ditahan kapal ronda Maritim Malaysia, Zon Maritim Miri disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran baru-baru ini.
Tangkapan pada 5 Oktober lalu itu dilakukan anggota bot peronda milik agensi tersebut pada jarak lebih kurang 132 batu nautika dari Barat Laut Tanjung Baram ketika rondaan rutin dijalankan oleh Zon Maritim Miri.
Laksamana Pertama Maritim Negeri Sarawak, Kamal Ariffin Jusoh, berkata semasa rondaan mendapati dua buah vessel yang mencurigakan itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram.
“Pada jam lebih kurang 10.55 pagi, iaitu 40 minit kemudian, Kapal Ronda Maritim Malaysia berjaya merapat ke vessel tersebut untuk diperiksa dan menggeledah vessel.
“Vessel bertindak agak agresif ketika kapal ingin merapat, namun berjaya dikawal oleh pihak penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan dan geledahan mendapati kedua-dua vessel berkenaan merupakan vessel nelayan asing, berdasarkan nombor pendaftaran vessel yang meragukan, serta bentuk dan ciri-ciri vessel tersebut yang disyaki berasal dari negara Vietnam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Kamal mendedahkan vesel pertama ditahan pada 11.35 pagi bersama lima kru, manakala vesel kedua ditahan pada jam 11.55 pagi, juga bersama lima kru.
Kesemua sepuluh individu, termasuk dua tekong berusia antara 30 hingga 66 tahun, ditahan kerana memasuki perairan Malaysia secara haram dan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut merampas sekitar 2,000 liter minyak diesel dari kedua-dua vesel, dengan nilai anggaran RM6,000.
Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan dan pemantauan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara terutamanya di sekitar perairan Sarawak.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085 – 418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016) untuk maklum balas segera. -TVS