SIBU, 8 Okt: Warga Sibu berpeluang menikmati pengurangan sebanyak 30 peratus bagi pembayaran kompaun saman trafik sempena Program ‘Town Hall Discussion’ anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pada 14 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata program itu diadakan di UTS bermula 9 pagi hingga 3 petang pda Isnin depan.
Menurutnya selain sesi perbincangan dan interaksi bersama masyarakat, orang ramai boleh membuat pembayaran saman dengan pengurangan di dua lokasi, iaitu di UTS dan di Cawangan Trafik, Balai Sg. Merah, Sibu, pada tarikh dan waktu yang sama.
“Pengurangan saman trafik ini hanya terpakai bagi kesalahan terpilih sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, beberapa saman berikut tidak layak untuk diskaun berkenaa seperti saman lampu merah, menggunakan lorong kecemasan, potong berbahaya, kemalangan, potong di garisan berganda, saman yang tidak boleh dikompaun (NC), saman perbicaraan mahkamah (bertanda M), saman melibatkan lori (bertanda A), ubahsuai ekzos, dan saman di bawah operasi Op Selamat.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan awal saman melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran.-TVS