KUCHING, 8 Okt: Bakal kembali menghangatkan pentas Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2024 hujung minggu ini, kumpulan penyanyi sensasi wanita tempatan, DOLLA mengakui kemunculan pada festival muzik itu tahun lalu merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.
“Ia pastinya merupakan salah satu pentas terbesar kami yang telah kami lakukan tahun lepas. Oleh itu kami semestinya menantikannya dan gembira dengan perkara itu (membuat persembahan di BSMF).
“Selain itu kami turut bergembira di festival ketika persembahan DJ Havana Brown. Ia adalah selepas persembahan kami dan kami turut teruja dengan segala kerja keras kami dalam melakukan persediaan untuk Borneo Sonic,” kata DOLLA.
BSMF 2023 yang julung kali diadakan di Kuching pada tahun lepas meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan oleh peminat festival muzik dan penggiat seni tanah air.
BSMF tahun lalu diakui memukau ramai pihak dengan menampilkan barisan artis antarabangsa terkenal seperti bintang Korea Selatan Taeyang, CL dan SUHO (EXO).
Tidak dilupakan, DOLLA yang diakui turut memukau para penonton dengan aksi luar biasa dengan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka.
Disoal berkaitan gaya persembahan kali ini, DOLLA mendedahkan pentas mereka kali ini bakal dihiasi dengan pelbagai lagu baharu mereka selain turut menjanjikan satu kejutan untuk penonton, terutama sekali peminat mereka (IDolla).
“Kami baru sahaja selesai konsert kami dan kami juga telah mempersembahkan banyak lagu dalam album (New Classics) kami.
“Festival ini (BSMF 2024) merupakan yang pertama di mana kami akan mempersembahkan lebih banyak lagu dari album kami yang belum pernah disaksikan oleh penonton sebelum ini.
“Ia merupakan satu persembahan yang semestinya kali ini lain dari lain Memandangkan kami mempunyai lebih banyak lagu berbanding tahun lepas jadi kami akan mempersembahkan lebih banyak lagu yang kami tidak nyanyikan tahun lepas. Jadi bersedia untuk kejutan itu,” kata DOLLA ketika ditemui di Kuching baru-baru ini,” kata mereka ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.
DOLLA bakal menemui peminat di pentas BSMF 2024 di Stadium Sarawak Kuching pada 11 dan 12 Oktober ini. – TVS