KUCHING, 8 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kekecewaan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang disifatkan tidak menepati janji untuk membuka permohonan Pengambilan Khas Guru di Sarawak khusus hanya kepada rakyat Sarawak sahaja.
Tegas beliau inisiatif tersebut dikhaskan untuk rakyat Sarawak namun permohonan itu telah dibuka kepada seluruh negara meskipun sebelum ini SPP memberi jaminan pengambilan guru baharu akan mengutamakan calon dari Sarawak.
“Sebenarnya, sebelum ini pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) ada membuat perjanjian kepada menteri (Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn) bahawa pengambilan baharu guru pelatih adalah dari Sarawak.
“Namun mereka tidak menunaikan janji ini. Kadang-kadang, mereka yang berkhidmat di Sarawak selama dua tahun akan meminta pindah ke Semenanjung (Malaysia).
“Jika anak Sarawak yang mengajar di sini, mereka hanya akan minta perpindahan ke tempat lain dalam negeri ini sendiri, seperti Dalat ke Sarikei,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) pada Isnin.
Dalam pada itu, tegas beliau permintaan Sarawak (permohonan khusus untuk rakyat wilayah ini) ‘anti’ (menentang) Semenanjung Malaysia, namun inisiatif itu sebaliknya bagi mengelak isu guru-guru dari Semenanjung Malaysia yang memohon perpindahan selepas beberapa tahun berkhidmat di negeri ini.
“Kita (Kerajaan Sarawak) bukanlah ‘anti’ kepada rakyat Semenanjung Malaysia, tetapi Sarawak sememangnya juga memerlukan tenaga dari guru tempatan.
“Selain itu, kita juga tekankan bahawa keputusan ini juga bukan bermaksud Kerajaan Sarawak bersikap ‘anti’ terhadap rakyat Semenanjung Malaysia, namun Sarawak masih memerlukan tenaga guru tempatan,” ujar beliau.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn turut menyatakan kekecewaannya dengan isu pengambilan guru latihan membabitkan calon dari luar Sarawak.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini demi kebaikan rakyat di wilayah ini.
“Kami tiada kuasa untuk mengatakan bahawa mereka tidak boleh menemu duga orang lain dari bahagian lain Malaysia. Jasi biarlah mereka melakukan itu pada masa lain jika mereka memerlukan, terutama untuk subjek pilihan.
“Keputsan ini sangat mengecewakan bagi kami untuk melihat mereka melakukan hal sedemikian. Namun, kami lakukan semuanya untuk rakyat Sarawak,” katanya.-TVS