KOTA KINABALU, 7 Okt: Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil menyalurkan bantuan bagi meringankan beban tiga bekas wartawan menghadapi masalah kesihatan.
Bantuan disampaikan Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang pada Majlis Makan Malam Bersama Media Sabah, yang diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Bekas petugas media yang menerima bantuan ialah bekas Ketua Bahagian Editorial Sabah dan Sarawak New Straits Times (NST), Joseph Bingkasan, bekas Ketua Editor Bahasa Melayu The New Sabah Times, Mohd Amin Muin dan wartawan Daily Express, Barnard Yaang.
Philip dalam ucapannya berkata, inisiatif YBR itu adalah antara aktiviti tahunannya dalam membantu individu yang memerlukan.
Katanya, ia juga bukan saja sebagai penghargaan kepada jasa bekas wartawan tetapi juga sekali gus mengeratkan kerjasama dengan pihak media.
“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama yang jitu daripada pihak media dalam menyiarkan segala usaha yang dijalankan oleh YBR.
“Kami akan sentiasa komited dan mempelbagaikan strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Mugutan Vanar.
Sementara itu, Philip berkata, inisiatif ini merupakan acara tahunan agar sinergi yang telah terjalin bersama pihak media dapat diteruskan dan kekal mampan.
Katanya, mengakui media adalah platform yang amat penting dalam menyampaikan serta menyebarkan maklumat menerusi media elektronik, media cetak dan media sosial.
“Oleh itu, saya sebagai Pengerusi YBR amat mengalu-alukan hubungan akrab di antara rakan-rakan media di Sabah dengan YBR untuk sama-sama kita membina platform informasi yang berkualiti, khususnya menaikkan imej Sabah di seluruh negara.
“Harapan saya agar hubungan kerjasama rakan-rakan media dan YBR di Sabah ini dapat memberikan impak yang baik dan seterusnya dapat membantu lebih ramai rakyat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, YBR berjaya menerima pelbagai anugerah, antaranya dinobatkan sebagai Yayasan Terbaik 2024 bagi kategori perbankan oleh CSR Award Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut.
Katanya, YBR juga disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh bagi setiap penilaian ketelusan yang dijalankan terhadap lebih 1,600 yayasan di seluruh negara. -TVS