KUCHING, 7 Okt: Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali hari ini melakukan pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri.
Menerusi kenyataan Astana Negeri Sarawak, antara perkara yang disentuh dalam perbincangan mengenai Ombudsman yang bakal dilaksanakan di Sarawak.
“Tujuan pertemuan tersebut diadakan adalah untuk berbincang tentang beberapa perkara khusus iaitu mengenai Pusat Arbitrasi Sarawak; Pindaan Perlembagaan Sarawak dan tindakan serta perkembangan terkini mengenai usaha melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berkesempatan bertukar pandangan dan pendapat dengan Peguam Besar Sarawak berhubung tiga perkara tersebut.
Selain pertemuan bersama Saferi Ali, beliau bersama isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut berkenan melawat kawasan bangunan kolam renang yang terletak di belakang Astana Negeri Sarawak.
Lawatan tersebut dilakukan kerana beliau mahu melihat sendiri keadaan tempat kolam renang dan kemudahan yang telah lama terbiar dan tidak dapat digunakan lagi.
“Semasa melawat kawasan tersebut, beliau telah diberi taklimat mengenai cadangan kepada beliau. Walaubagaimanapun, beliau mahu cadangan tersebut dibuat kajian dahulu,” ujar kenyataan berkenaan.
Wan Junaidi turut berkesempatan meluangkan masa melihat buku-buku lama yang disimpan di dalam bilik yang berdekatan dengan kolam renang tersebut.
Hadir bersama melawat kawasan kolam renang berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bahagian Aset Bangunan, Mohammad Saifrol Sheikh Naimullah dan Arkitek JKR Sarawak, Dilsyadry Hanri. – TVS