KUCHING, 7 Okt: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini memberikan penghormatan terakhir kerpada ibu mentua kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanti Langgi, mendiang Puan Sri Datin Sri Elizabeth Pawa di sini.
Menerusi kenyataan Astana Negeri Sarawak, Wan Junaidi serta isteri menzahirkan perasaan dukacita dan simpati kepada keluarga mendiang yang yang telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.55 pagi pada Ahad.
Ketibaan mereka disambut Alexander serta isteri Datin Angelina Celestine Ujang yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu bagi memberikan penghormatan terakhir pada kira-kira 11.26 pagi tadi.
“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Tuhan untuk menghadapi saat-saat sedih ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam kunjungan tersebut, Wan Junaidi juga berkesempatan meluangkan masa menziarahi nenek mentua Alexander, Piah Kalok yang kini sudah berumur 97 tahun.
Mendiang Elizabeth Pawa juga merupakan isteri kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan.
Wan Junaidi dan isterinya mengakhiri lawatan sekitar jam 12.30 tengah hari. – TVS