JAKARTA, 7 Okt: Indonesia secara konsisten menggesa gencatan senjata kekal bagi menghentikan peningkatan kematian akibat peperangan di Semenanjung Gaza, Palestin.
Hari ini genap setahun Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas melancarkan serangan ke atas satu sama lain, mendorong beberapa negara menyeru agar perang dihentikan.
Menurut Timbalan Menteri Luar Indonesia, Pahala Mansury, Indonesia masih mempunyai sikap yang sama, terus mendesak kemerdekaan Palestin dan menyuarakan beberapa jalan keluar.
“Indonesia tetap konsisten dalam mendesak gencatan senjata kekal dan Israel menghentikan serta-merta serangan ke atas Palestin serta mendesak penyelesaian dua negara bagi meredakan konflik, keutamaan Indonesia pada masa ini adalah meredakan ketegangan sedia ada bagi mengelak serangan yang mengancam lebih ramai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan kebimbangannya, terutamanya sejak Israel meluaskan serangannya ke atas Lubnan dan menggesa gencatan senjata direalisasikan secepat mungkin.
Mansury turut mendedahkan Indonesia giat menyuarakan keadilan bagi Palestin dari segi komunikasi dan diplomasi menerusi pelbagai pihak dan forum, malah sehingga Perhimpunan Agung PBB ke-79.
Untuk rekod, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel menyebabkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bertindak balas dengan melakukan serangan besar-besaran ke atas sasarannya di Palestin, sejak hari itu 41,870 orang awam terbunuh akibat konflik di sana. -TVS