KAJANG, 7 Okt: Kerajaan Selangor akan melaksanakan intervensi menerusi program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi membantu 17,000 murid tahap satu di negeri ini yang mengalami masalah literasi dan numerasi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebahagian besar daripada jumlah itu adalah mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
PTRS kata beliau dilaksanakan bagi mendidik dan melatih kumpulan murid berkenaan supaya lebih cekap.
“Intervensi menerusi PTRS ini akan membantu kemahiran mereka untuk membaca, menulis, mengira (3M) dan cara berfikir dapat ditingkatkan.
Lebih 122,000 murid darjah satu di seluruh negara gagal kuasai 3M
“Kita sedia maklum dalam tempoh setahun hingga dua tahun ini (mereka) tidak bersekolah jadi asas-asas (3M) itu terganggu ketika proses pembelajaran terhenti akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Tekad Reformasi Pendidikan Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin yang juga mengendalikan portfolio Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk meneroka pengenalan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di dalam PTRS bermula tahun depan.
Langkah itu, katanya diambil susulan terdapat banyak ruang yang mampu dimanfaatkan TVET dengan sebaiknya dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini.
“Kerajaan negeri akan jadikan PTRS sebagai platform untuk meneroka minat-minat awal dalam TVET kerana kebiasaannya ia hanya akan diceburi selepas tamat persekolahan dengan kita sifatkannya sebagai agak lewat kepada pelajar.
“Kita akan perkenalkan modul-modul ini di peringkat rendah dan menengah rendah menggunakan keupayaan dan kepakaran kita, “ katanya. – TVS.