KUCHING, 7 Okt: Penubuhan Sayap Belia, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dicetuskan presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah pengiktirafan ikhlas dan jujur daripada kepimpinan parti.
Ahlis Majlis Tertinggi PBB, Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian menambah, kepimpinan parti merasakan bahawa penglibatan warga belia di arena perjuangan politik serta usaha pembinaan wilayah Sarawak yang progresif semakin relevan.
“Penglibatan dan input warga belia dalam ekosistem politik diperlukan kerana corak pemikiran mereka semakin kompetitif, kreatif dan terbuka tentang hala tuju pembangunan dan masa depan Sarawak,” katanya.
Beliau mengulas mengenai Sayap Belia PBB yang dilancarkan Abang Johari yang juga Premier Sarawak di Sibu pada Ahad.
Sayap Belia PBB menyediakan platform politik kepada generasi muda berumur 18 hingga 28 tahun.
Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) berkata lagi, persepsi negatif sesetengah warga belia yang merasakan aktiviti politik adalah sia-sia harus diperbetulkan.
“Kita mahu bakal kepimpinan di masa hadapan terdiri daripada mereka yang benar-benar patriotik, berwawasan, berjiwa besar dan berintegriti.
“Kita mahu orang baik masuk politik dan ikhlas berjuang untuk kepentingan Sarawak, kalau tidak orang jahat akan masuk politik yang akan melemahkan masa depan bangsa Sarawak,” katanya.