KUCHING, 7 Okt: Kerajaan Sarawak menyampaikan insentif berjumlah RM2.256 juta kepada atlet-atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak yang berjaya merangkul pingat dalam temasya sukan kali ke-21 itu yang berakhir baru-baru ini.
Insentif disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Dalam ucapannya, Abang Johari berkata, penyampaian insentif ini adalah seperti yang dijanjikan kepada atlet yang telah mengharumkan nama Bumi Kenyalang menerusi Para SUKMA yang lepas.
“Kerajaan telah memberikan insentif keseluruhan kepada atlet-atlet (kontinjen Sarawak) berjumlah lebih RM4 juta iaitu RM1.84 juta untuk SUKMA dan RM 2.256 juta untuk Para Sukma.
“Doakanlah semoga Sarawak terus maju dan menjana pendapatan lebih supaya dapat kita membangunkan lagi sektor kesukanan di negeri ini.
“Kerajaan sedia menyalurkan apa juga sokongan dari sudut moral dan kewangan untuk pembangunan sukan,” katanya.
Pada Para SUKMA ke-21 (SUKMA XXI) 2024 yang berlangsung 22 sehingga 29 September lepas, Sarawak muncul juara keseluruhan dengan pungutan 209 pingat dengan pecahan 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa.
Pada temasya tersebut seramai 17 orang atlit para kontinjen Sarawak telah berjaya memecah rekod pertandingan dan tiga orang atlet berjaya mengatasi rekod kebangsaan.
Dalam pada itu, Fraidden Dawan mendahului senarai penerima tiga insentif terbanyak Para SUKMA XXI berjumlah RM67,500.
Manakala Rusdianto Rusmadi dan Galang Jabai menerima insentif kedua terbanyak dengan masing-masing berjumlah RM47,500.
Abang Johari turut menyerahkan insentif berjumlah RM500,000 kepada atlet paralimpik iaitu Bonnie Bunyau Anak Gustin di atas kejayaan beliau semasa Paralimpik Paris 2024 lepas.-TVS