KUCHING, 7 Okt: Sarawak perlu belajar dari pengalaman menjadi tuan rumah Para Sukma ke-21 dan membuat penambahbaikan untuk temasya akan datang, demikian menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Katanya, penambahbaikan itu penting kerana Sarawak akan menjadi penganjur Special Olympics State Games 2025 pada tahun hadapan.
“Sebagai pengerusi Special Olympics Sarawak, saya ingin memaklumkan bahawa kita akan menganjurkan Special Olympics State Games 2025 di Kuching. Ini merupakan sukan tahunan.
“Oleh itu, kita perlu membuat penambahbaikan khususnya perkampungan sukan kita (Sport Village) dan tempat (venue) pertandingan khususnya melibatkan bangunan mesra OKU.
“Bagi jangka masa yang panjang, kita perlu beri perhatian kepada kepada ordinan bangunan (Building Ordinance di Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Para SUKMA XXI 2024 di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya Special Olympics Malaysia telah ‘merisik’ Sarawak untuk menjadi tuan rumah untuk National Special Olympics Games, namun katanya, perkara tersebut terpulang kepada keputusan Premier Sarawak terlebih dahulu. -TVS