KUCHING, 7 Okt: Sarawak berhasrat membangunkan sektor pelancongan tempatan dengan memberi fokus kepada pelancongan berkualiti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merujuk kepada pelancongan yang memaksimumkan keseluruhan perjalanan di sesebuah destinasi pelancongan selain amalan pelancongan bertanggungjawab.
Menurutnya, Sarawak mempunyai keindahan dan kekayaan dari semula jadi dari segi geologi serta biodiversiti yang menjadi tarikan pelancong.
“Apabila pelancong datang ke Sarawak, mereka pencinta alam semula termasuk geologi. Oleh itu mereka tidak akan menjejaskan alam semula jadi yang ada di Sarawak. Ketika saya menjadi Menteri Pelancongan sebelum ini, kami bukan sahaja menekankan konsep pelancongan massa (mass tourism) tetapi lebih kepada pelancongan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian International Seminar On Sarawak Delta Aspiring Unesco Global Geopark di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Seminar itu merupakan yang pertama diadakan dengan objektif untuk mengangkat tapak Delta Sarawak dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (SDaUGGP).
Sementara itu, Abang Johari yakin tapak Delta Sarawak diiktiraf sebagai SDaUGGP menjelang 2026 jika memenuhi semua kelayakan dan proses penilaian oleh Jawatankuasa UNESCO.
“Satu daripada tarikan adalah nilai tapak itu sendiri. Kalau di Korea Selatan mereka mempunyai Pulau Jeju. Pulau Jeju adalah pulau yang mempunyai khazanah dari suduh geologi dan kalau itu berlaku kita ambil Pulau Jeju sebagai model dan Datuk Len Talif Salleh telah pergi ke pulau itu.
“Kita perlu dapat memenuhi syarat untuk disyhtiharkan sebagai tapak UNESCO dari sudut geopark. Apa yang berlalu sekarang kita minta penilai yang boleh mengisytiharkannya daripada UNESCO untuk melihat sama ada kualiti kita ada atau tidak,” ujarnya.
Untuk rekod, Sarawak Delta Geopark terletak di Blok Utara Borneo dan meliputi kawasan seluas 3,112 km persegi .
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi. – TVS