SIBU, 7 Okt: Fasa pertama projek naik taraf Jalan Oya, Sibu kepada jalan dua lorong berjalan lancar dan menunjukkan kemajuan lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek sepanjang 1.44 kilometer itu dijangka siap pada 5 Disember ini.
“Fasa pertama sepanjang 1.44 kilometer sedang dalam pembinaan dan telah mencapai kemajuan sebanyak 1.58 peratus.
“Sasaran siap (fasa pertama) adalah pada Disember tahun ini, dan kontraktor dijangka dapat menyiapkan kesemua kerja ini tepat pada masanya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke projek naik taraf Jalan Oya, Sibu pada Isnin
Tambah Aidel, tender bagi fasa seterusnya mungkin akan dibuka dalam masa terdekat melibatkan tambahan kira-kira satu kilometer lagi di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, meskipun terdapat cabaran dalam memindahkan kemudahan utiliti, semua kerja tersebut telah diselesaikan tanpa melibatkan pemindahan penduduk.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berharap agar pembukaan jalan dua lorong itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Sibu.
“Ini merupakan antara kawasan jalan raya di Sibu yang paling sibuk. Kita berharap apabila jalan dua lorong ini dibuka, ia akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Cabaran lain ialah kita perlu memasang lampu isyarat secepat mungkin kerana tanpa lampu isyarat, pembukaan jalan dua lorong ini tidak lengkap.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan memulakan kerja pemasangan lampu isyarat pada hari ini dan mendedahkan fasa pertama projek tersebut telah menelan kos sebanyak RM22.8 juta.-TVS