TAWAU, 7 Okt: Beberapa video memaparkan seorang anggota polis trafik mengejar seorang lelaki telah tular di media sosial dan whatsapp sejak semalam.
Salah satu video menunjukkan anggota polis tersebut kelihatan memegang sesuatu yang menyerupai pistol, namun disebabkan kualiti video yang rendah, jenis senjata tersebut tidak dapat disahkan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku pada 6 Oktober, sekitar jam 10.30 pagi di Jalan Utara, berhampiran Sekolah Islamiah Tawau.
“Laporan polis berkaitan insiden ini telah dibuat oleh seorang pegawai trafik dari Daerah Tawau. Siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” kata Jasmin.
Beliau turut mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan berhubung kes ini. Siasatan masih diteruskan dan hasilnya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai.
Jasmin turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi sepanjang siasatan masih dijalankan. -TVS