BINTANGOR, 7 Okt: Sebanyak 73 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini menerima sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang keseluruhannya berjumlah RM285,000.
NGO tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan kebudayaan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, sumbangan tersebut membuktikan kerajaan tidak mengabaikan NGO yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat serta memperkukuh usaha kerajaan dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, NGO sering menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Geran dan dana kepada NGO untuk menyokong projek serta inisiatif yang selari dengan agenda pembangunan negara.
“Malah, kerajaan sering bekerjasama dengan NGO untuk melaksanakan program di peringkat akar umbi kerana mereka mempunyai akses langsung kepada komuniti yang memerlukan dan memahami keperluan tempatan dengan lebih baik,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Belliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, dengan sokongan yang diberikan, kerajaan mengiktiraf peranan penting NGO dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara.
“Sumbangan juga bertujuan membantu aktiviti kesemua pertubuhan itu supaya mereka dapat melaksanakan program bermanfaat untuk komuniti setempat,” ujarnya.
Sebelum ini, Tiong Sii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menghulurkan peralatan persekolahan bagi membantu meringankan beban ibu bapa pelajar di kawasannya. – TVS