KAJANG, 7 Okt: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan sejumlah 122,00 murid darjah satu di seluruh negara dikesan belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM turut mengenal pasti seramai lebih 83,000 murid lain di peringkat sekolah rendah dan menengah tidak menguasai 3M menerusi Program Anak Kita.
Dasar Tahun 3, Tahun 6 tiada peperiksaan dibawa ke Kabinet – Fadhlina
Program itu jelas beliau diperkenalkan untuk menangani masalah keciciran pembelajaran di seluruh negara.
“Lebih 83,000 murid akan terlibat dalam Program Anak Kita khususnya tiga dimensi, 3M, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar yang keciciran.
“Saya fikir angka ini sifatnya dinamik, sebaik mereka menguasai melalui intervensi, jumlahnya pasti akan berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Tekad Reformasi Pendidikan Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengenai punca masala itu Fadhlina berkata pihaknya mengakui pandemik COVID-19 merupakan faktor utama.
“Antara faktor lain ialah kemiskinan dan kita mengenal pasti mereka perlukan intervensi khusus, misalnya, kalau anak atau murid berkeperluan khas jadi intervensinya berbeza daripada anak-anak arus perdana,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Program Tekad Reformasi Pendidikan, Fadhlina berkata program itu merupakan antara gagasan bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menyokong pendidikan di seluruh negara.
Katanya, Selangor dipilih sebagai negeri pertama pelancarannya susulan komitmennya yang tinggi dalam memantapkan sektor pendidikan dengan menyifatkannya wajar untuk dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Kita mahu Selangor untuk menerajui Program Tekad Reformasi Pendidikan ini kerana kelebihan dan keutamaan yang kita dapat lihat ditekankan oleh menteri besar, Dato Sri Amirudin Shari terhadap sektor pendidikan.
“Beliau telah wujudkan sebuah rangka pendidikan dengan melakukan pelaburan yang sangat besar untuk negeri ini, dan kejayaan Pusat Tuisyen Selangor adalah satu ekosistem yang dibina bukan sahaja tertumpu kepada aspek pendidikan akademik sahaja, tetapi berkenaan bagaimana membangunkan pendidikan Selangor, jelasnya.
Program itu menggariskan enam fokus iaitu intervensi kurikulum, sains teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM), memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), pendidikan digital, penyelarasan prasekolah dan pendidikan dan Latihan teknikal vokasional (TVET). – TVS