KUCHING, 7 Okt: Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kini sedang membangunkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bagi melihat trend membaca rakyat Malaysia dan pada masa sama mengukur pencapaian pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan serta Dasar Galakan Membaca.
Menerusi satu kenyataan hari ini, menterinya Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, IMK juga bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh tentang tabiat membaca, jenis bahan bacaan diminati dan frekuensi membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, indeks tersebut dilihat dapat membantu pihak berkaitan dalam merancang strategi dan program berkesan untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Ketika ini, IMK dalam proses perancangan dan memerlukan penelitian bagi memastikan indeks yang dihasilkan mampu memberikan gambaran menyeluruh dan tepat berkenaan tabiat membaca rakyat Malaysia.
“Melalui penggunaan IMK, diharapkan tahap literasi dan minat membaca dalam masyarakat dapat ditingkatkan seterusnya menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya.
Lima keperluan untuk IMK digariskan meliputi meningkatkan literasi, perancangan pendidikan, promosi minat membaca, penilaian program dan sokongan untuk pembuat dasar.
Tambah kenyataan itu, kementerian itu melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melaksanakan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia sebagai indikator dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju.
“Hasil kajian ini penting untuk memberi maklum balas terhadap kadar pembacaan rakyat Malaysia pada masa sekarang agar seimbang dengan kadar literasi iaitu 97 peratus mengikut standard UNESCO,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, IMK amat penting bagi melihat trend membaca rakyat Malaysia secara keseluruhannya.-TVS