KUCHING, 7 Okt: Pertandingan IC Design Make-A-Thon 2024 anjuran SMD Semiconductor memfokuskan kepada usaha memupuk bakat tempatan dalam mewujudkan tenaga kerja bertaraf dunia dipacu inovasi dalam industri semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil menerusi kenyataan hari ini berkata, ia menawarkan platform unik dan tidak ternilai dengan memupuk kemahiran penting dalam abad ke-21 seperti jalinan kerjasama, pemikiran kritis serta inovasi dengan menggandingkan pelajar universiti dan peserta sekolah menengah.
Menurutnya, peserta bukan sahaja mendapat pengetahuan teknikal tetapi merasa keberkesanan diri yang lebih kuat dan kepercayaan terhadap keupayaan untuk berjaya.
“Pertandingan menggalakkan kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir kreatif yang bukan sahaja asas kepada kejayaan dalam tenaga kerja hari ini tetapi juga kritikal dalam industri semikonduktor yang sentiasa berkembang.
“Ingat bahawa litar yang anda bina hari ini boleh dikecilkan serta disepadukan ke dalam satu cip dikenali sebagai Litar Bersepadu (IC) yang merupakan blok binaan untuk semua elektronik moden dan dengan jayanya dalam menangani cabaran itu, anda telah menunjukkan bahawa anda mempunyai kemahiran dan keazaman untuk menyelam lebih dalam ke dalam bidang teknologi.
“Keyakinan ini akan menjadi asas untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan anda,” katanya.
Shariman berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja lebih kepada cabaran teknikal tetapi merupakan pintu masuk kepada kesedaran kerjaya dan peluang masa depan dalam industri semikonduktor terutama asas industri reka bentuk IC yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan teknologi global.
Menurutnya, ibu bapa perlu sentiasa cakna kepada industri sedang pesat membangun dan peluang yang akan membentuk tenaga kerja masa depan serta menggalakkan anak muda meneroka bidang yang bukan sahaja selaras dengan minat tetapi relevan dengan tuntutan masa depan.
Pertandingan itu menyaksikan penyertaan 40 pelajar dengan 10 pasukan terdiri daripada pelajar dari Universiti Curtin, Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) dan sekolah menengah tempatan.
Turut diadakan bengkel serta sesi bimbingan diketuai pakar industri dan ahli akademik yang dianjurkan SMD Semiconductor dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).
Dengan sokongan turut diberikan oleh Chumbaka dan Curtin University Malaysia, Make-A-Thon diadakan bertujuan mempromosi reka bentuk cip dan memajukan pendidikan STEM dalam sekolah serta universiti.
Pertandingan tersebut akan diteruskan di Sibu dari 25 hingga 27 Oktober, sebelum berakhir di Kuching dari 1 hingga 3 November. – TVS