KUCHING, 7 Okt: Festival Jazz Borneo (BJF) 2024 bakal menarik lebih 4,000 peminat muzik jazz dari Asia Tenggara serta seluruh dunia pada 29 November hingga 30 November 2024 di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri, Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, festival memasuki edisi ke-18 itu bertujuan untuk meraikan muzik jazz, kepelbagaian budaya, dan komuniti dari seluruh dunia.
“Tahun ini, kami teruja untuk menyambut kedatangan peminat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga peminat kami dari Brunei, Singapura, Indonesia, serta dari negara lain. Festival ini bukan sahaja untuk meraikan muzik jazz, namun, turut meraikan perayaan budaya serta masyarakat.
“Festival ini menjanjikan pengalaman yang menarik kepada semua peminat. Terdapat persembahan yang luar biasa daripada penyanyi jazz dan peminat muzik dari seluruh dunia. Jadi, kali ini diadakan di Miri kerana kita mahu peminat dari Brunei dapat merasai pengalaman ini,” katanya ketika berucap pada sidang media Festival Jazz Borneo 2024 di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau juga menyifatkan penganjuran festival ini mampu memberi impak yang positif kepada kemajuan sektor pelancongan di Sarawak.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang mengalu-alukan kedatangan peminat jazz untuk bersama-sama meraikan festival yang berlangsung selama dua hari ini.
“Kami ingin membawa peminat muzik di Malaysia khususnya seluruh dunia untuk bersama datang ke Festival Jazz Borneo di Miri.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, festival muzik ini mendapat sambutan yang luar biasa. Jadi, saya harap semua datang ke festival yang gemilang-gemilang ini nanti. Matlamat kami adalah untuk memberi ruang kepada penggiat seni supaya bakat mereka diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.
Festival anjuran Majlis Bandaraya Miri bukan sahaja meraikan muzik jazz, namun turut diadakan persembahan gabungan pelbagai muzi reggae, pop dan irama.
Bertemakan “Jazzy Miri”, BJF 2024 turut diwarnai dengan persembahan daripada Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid, Makaya McCraven, Rio Sidik, The Clarinet Trio, The Shang Sisters, WVC Ensemble, Gerhana Skacinta dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh membeli tiket Festival Jazz Borneo 2024 bermula 7 Oktober 2024 di laman web jazzborneo.com, miricouncil.gov.my dan deckworksevents.com.-TVS