SHAH ALAM, 7 Okt: Polis menahan seorang rakyat tempatan bersama enam warga China kerana disyaki terlibat dalam lapan kes pecah rumah di Sabak Bernam sejak Januari hingga September lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka ditahan menerusi siri serbuan di Subang Jaya dan Kuala Lumpur pada Sabtu dan semalam.
Kata beliau serbuan pertama di kawasan parkir di sebuah hotel di Jalan U Thant berjaya menahan lima warga China dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna hitam.
“Serbuan seterusnya di sebuah bilik di hotel berkenaan pula menyaksikan seorang lagi warga negara itu ditahan bersama pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata, seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dengan kes itu ditahan menerusi serbuan pada 8.24 malam tadi di sebuah kondominium di Subang Jaya.
“Polis percaya peranan warga tempatan ini ialah untuk mengenal pasti rumah yang akan dipecah masuk,” katanya.
Beliau memberitahu kesemua warga asing itu gagal mengemukan dokumen perjalanan sah semasa ditahan manakala dua kereta yang dirampas dipercayai disewa.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini turut aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Perak, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya. -TVS.