GEORGE TOWN, 7 Okt: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki menjual karpet alas kaki yang tertera corak menyerupai bentuk Kaabah dan masjid di sebuah khemah bazar di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek warga tempatan berusia 26 dan 41 tahun itu merupakan pemilik gerai dan pekerja.
Katanya, polis sebelum ini menerima laporan daripada orang awam yang mendapati alas kaki yang dibelinya dari sebuah khemah jualan tertera gambar tersebut.
“Sehari sebelum itu, pengadu berada di sebuah khemah bazar dan melihat beberapa karpet disyaki alas kaki bercorak Kaabah serta masjid yang dijual kepada orang ramai.
“Dia kemudian membelinya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohd Alwi, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan mengganggu siasatan polis membabitkan kes itu. – TVS