KOTA KINABALU, 7 Okt: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesyorkan penduduk Sabah memanfaatkan aplikasi MYJalan untuk melaporkan sebarang masalah jalan raya, susulan kemalangan tragis yang meragut nyawa dua beranak di Tuaran pada 30 September lalu.
Ahmad menjelaskan, aplikasi MYJalan yang dikendalikan oleh Kementerian Kerja Raya membolehkan orang ramai melaporkan isu seperti jalan berlubang, ketiadaan lampu, dan papan tanda yang mengelirukan, agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
“Aplikasi MYJalan boleh dimuat turun untuk semua telefon pintar. Aplikasi ini menerima aduan berkaitan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri, dan juga jalan kampung. Saya berharap penduduk Sabah dapat menyebarkan penggunaan aplikasi ini untuk kebaikan bersama,” katanya selepas lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila disoal tentang kemalangan maut di Sri Rugading, Tuaran yang berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang masih dalam pembinaan.
Jalan berkenaan dikatakan berbahaya bukan sahaja kepada pejalan kaki, malah juga kepada pemandu kerana ketiadaan lampu jalan dan penghadang sementara yang mengelirukan.
Mengulas tentang aplikasi MYJalan, Ahmad memberi jaminan bahawa sebarang aduan yang melibatkan jalan persekutuan akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
“Kami berjanji untuk menyelesaikan masalah di jalan persekutuan dalam masa 24 jam. Saya juga berharap jalan negeri akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang sama. Di mana-mana sahaja terdapat lubang di jalan persekutuan, sama ada di Semenanjung, Sabah, atau Sarawak, kami akan pastikan ia ditutup dalam tempoh 24 jam melalui pemantauan aplikasi MYJalan,” tambahnya.
Ahmad juga menekankan bahawa aplikasi MYJalan berfungsi untuk menyampaikan aduan walaupun isu yang dilaporkan bukan di bawah Kementerian Kerja Raya.
Menurutnya, kementerian mempraktikkan “no wrong door policy” di mana sebarang aduan akan disalurkan kepada kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Sebagai contoh, jika terdapat aduan mengenai kesesakan jalan, lampu isyarat yang tidak berfungsi, atau jalan desa yang rosak, walaupun bukan di bawah kementerian kami, kami akan hantar kepada KKDW yang bertanggungjawab, termasuk kawasan pulau. Aplikasi ini dilancarkan oleh Perdana Menteri tahun lepas, dan saya berharap ia digunakan secara meluas di Sabah,” jelas Ahmad. -TVS