SEPANG, 7 Okt: Pemain tengah Harimau Malaya Mohammad Syamer Kutty Abba menyifatkan kehadiran pemain muda yang membarisi skuad negara bakal memberi ‘dinamik’ baharu kepada pasukan dalam aksi persahabatan bertemu New Zealand pada 14 Okt ini.
Beliau berkata perlawanan di Stadium North Harbour di Auckland itu bakal menjadi medan melihat keserasian kombinasi baharu skuad kendalian Pau Marti Vicente itu, terutama dalam persiapan menjelang Kejohanan ASEAN 2024 Disember ini.
“Keberadaan pemain muda bersama pemain berpengalaman adalah satu perkembangan yang positif. Ia memberikan dinamik baharu kepada pasukan dan memupuk bakat muda sebagai penyumbang kepada peningkatan prestasi. Selain berusaha untuk mencapai kemenangan, adalah penting bagi kami untuk berintegrasi dengan baik, terutama menjelang bulan Disember ini.
“Ini juga merupakan pengalaman baru bagi kami untuk melihat sejauh mana kami dapat berkembang dan bagaimana cara untuk memperbaiki kelemahan yang ada, agar pasukan dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke New Zealand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Vicente telah memanggil tiga muka baharu bawah 23 tahun (B-23) dari Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC bagi beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang New Zealand.
Mereka ialah penjaga gol Selangor Azim Al Amin Kamaruddin serta pemain muda dari skuad B-19 kebangsaan yang baharu kembali dari Kelayakan Piala Asia B20 2025 di Tajikistan iaitu penjaga gol Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor B-23).
Kali terakhir Harimau Malaya bertemu New Zealand adalah pada 2006 di bawah kendalian ketua jurulatih Norizan Bakar. Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Malaysia tewas 1-0 di Christchurch pada 19 Feb, diikuti dengan kekalahan 2-1 di Auckland, empat hari kemudian.
Sementara itu, Mohammad Syamer berkata ketiadaan kapten pasukan Dion Cools dalam menentang New Zealand bakal membuka ruang buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan bagi mengetuai skuad negara.
“(Ketiadaan Cools), tidak menjadi masalah sebab kita ada ramai player yang boleh mengisi peranan beliau dan ia beri peluang kepada pemain lain untuk step up dan memberi satu penambahan dalam pasukan,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan Cools tidak akan menyertai Harimau Malaya dalam pertemuan dengan New Zealand kerana urusan keluarga. -TVS