KUALA LUMPUR, 7 Okt: Malaysia bersedia untuk memimpin rantau ini ke arah keterangkuman, kerjasama dan perpaduan menerusi peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, negara-negara ASEAN sebenarnya mampu mendepani cabaran global yang berlaku ketika ini menerusi dasar neutral yang kukuh dan kepimpinan bersama.
Beliau berkata, perpecahan geopolitik global sebenarnya turut mengancam kestabilan ASEAN namun dengan dasar berkenaan, rantau ini mampu mengharungi perkara itu.
Pertumbuhan ekonomi memberangsangkan bukti keberkesanan reformasi struktur negara – PM Anwar
“Kita (Malaysia) mungkin melangkaui ASEAN (apabila) meneroka perkongsian dengan BRICS yang akan memperdalam hubungan selatan dan selatan global.
“(Namun) Malaysia mengulangi kepentingan untuk mematuhi perintah berasaskan peraturan serantau dan antarabangsa tetapi kita menolak kepura-puraan mereka (negara tertentu) apabila (mematuhi peraturan yang) sesuai dengan (kehendak) mereka,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap melancarkan Forum Megatrends Khazanah 2024, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan dunia untuk memiliki sistem kewangan baharu berdasarkan prinsip keadilan dan ekuiti.
“Ini kerana kita tidak boleh terus membiarkan diri kita dirugikan oleh penyimpangan sistem Bretton Woods.
“Semasa kita mengharungi zaman pergolakan dan percanggahan ini, marilah kita melakukannya dengan keberanian, keyakinan dan komitmen untuk kebaikan yang lebih besar,” ujarnya lagi. -TVS.