MIRI, 7 Okt: Lima lelaki diberkas ketika diserbu sedang menjalankan kegiatan sabung ayam dalam Ops Dadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sebuah kawasan lapang di sekitar bandar Miri Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri pada jam 6 petang.
“Semasa serbuan dijalankan, pihak polis telah menangkap lima lelaki warga tempatan dan turut merampas dua ekor ayam serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti sabung ayam.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 73 (1) (g) Ordinan Veteriner Kesihatan Awam 1999,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia antara 56 hingga 75 tahun dan mengaku datang ke kawasan tersebut untuk berjudi sabung ayam.
“Pihak polis turut menasihati masyarakat untuk tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang boleh tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
“Pihak polis amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri,” jelasnya.- TVS