KUCHING, 6 Okt: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian hari ini menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi di sini.
Orang ramai mula berkumpul dataran tersebut seawal jam 7 pagi bagi menyaksikan kibaran bendera yang menjadi ikonik dan kebanggaan Sarawak.
Majlis dimulakan dengan Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang oleh Dr Sim.
Ia disusuli dengan nyanyian lagu kebesaran Sarawak, Ibu Pertiwiku oleh kumpulan pancaragam DBKU dan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa daripada Pertubuhan Tarian Naga Singa Hill Kuching.
Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi yang diadakan pada setiap bulan di bawah kelolaan DBKU adalah sebagai tanda menzahirkan rasa hormat terhadap lambang kedaulatan dan kebanggaan Sarawak.
Menariknya pada kali ini, upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi diadakan dengan bertemakan pakaian tradisonal atau etnik sekali gus melambangkan semangat perpaduan serta toleransi antara masyarakat berbilang kaum.
Lebih signifikan, acara tersebut turut meraikan perpaduan dalam kepelbagaian yang merupakan keunikan dan kebanggaan di Bumi Kenyalang.
Terdahulu, DBKU dalam satu kenyataan memaklumkan Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak selain menunjukkan kehebatan Sarawak dengan bendera berwarna merah, hitam dan kuning.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng serta Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Elizabeth Lo.-TVS