RANAU, 6 Okt: Selepas tujuh tahun dihentikan, Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-31 kini kembali, menampilkan atlet-atlet khususnya porter gunung daripada Sabah yang mendominasi acara perlumbaan mencabar ini.
Seramai 199 peserta dari dalam dan luar negara menyertai perlumbaan sejauh 26 kilometer, yang merangkumi pendakian dan penurunan Gunung Kinabalu. Acara ini menjadi platform untuk menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta dalam suasana mencabar di Taman Kinabalu.
Pemenang Kategori Veteran Lelaki, Daved Simpat, 42, seorang porter Gunung Kinabalu, menjadi peserta pertama dari semua kategori yang menamatkan perlumbaan dengan masa 3 jam, 36 minit, 13 saat.
Walaupun bertanding dalam kategori veteran, Daved berjaya mengatasi peserta lain dalam perlumbaan Climbathon Gunung Kinabalu yang mencabar ini dengan pengalamannya sebagai porter gunung selama 15 tahun.
Katanya, pekerjaannya yang membantu pelanggan mengangkat barangan mendaki dan menuruni Gunung Kinabalu itu merupakan suatu pekerjaan yang lasak, tetapi ia memberikannya kelebihan dari segi kekuatan mental dan fizikal.
“Selain itu, saya juga sudah lebih memahami trail (jalan) ini berbanding peserta lain, jadi saya mempunyai kelebihan di situ.
“Bagi saya, faktor umur membuatkan (larian saya) berbanding tujuh tahun lalu ada sedikit perbezaan tapi tidak ganggu saya kerana saya sentiasa training sebab kerja saya pun agak lasak juga. Sebagai persediaan, saya kena cukup rehat, dan cukup latihan, itu yang penting supaya boleh mengekalkan kecergasan.
“Persediaan juga haruslah penuh disiplin di dalam fokus dan mental,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu, Kundasang, Ranau, hari ini.
Kali ini merupakan kali pertama Daved menjohani larian tersebut selepas menyertai Climbathon Gunung Kinabalu sebanyak tujuh kali. Beliau pernah menjadi johan pada tahun 2013, dan mendapat tempat ketiga pada tahun 2017.
Di tempat kedua Kategori Veteran Lelaki ialah Safrey Sumping, juara Climbathon 2016 dan 2017, yang menamatkan perlumbaan dengan masa 3 jam, 52 minit, manakala Milton Amat berada di tempat ketiga dengan catatan masa 4 jam, 1 minit.
Sementara itu, Kategori Elit Lelaki, juga dimenangi oleh seorang porter Gunung Kinabalu, Walter Herman yang berjaya menghabiskan lariannya di dalam 3 jam 36 minit. Beliau diikuti rapat oleh Yusri Nanda dari Indonesia dengan masa 3 jam, 39 minit , dan Jude Maikol dari Sabah menduduki tempat ketiga dengan masa 3 jam, 44 minit.
Bagi Kategori Elit Wanita, Sandi Menchi Abahan dari Filipina berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan catatan masa 4 jam, 50 minit.
Apabila ditemui TVS, Sandi berkongsi perasaan gembira beliau kerana masih berkesempatan untuk melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu kali ini.
“Perlumbaan ini adalah cinta pertama saya kerana ini adalah perlumbaan antarabangsa pertama saya. Setiap kali datang ke sini, saya berasa sangat emosional melihat puncak Gunung Kinabalu dan berjumpa orang-orang Sabah,” katanya.
Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid dari Perak menduduki tempat kedua dengan masa 5 jam, 18 minit, manakala Danny @ Kuilin Gongot dari Sabah di tempat ketiga dengan masa 5 jam, 59 minit, 35 saat.
Hanya tiga wanita yang berjaya menamatkan perlumbaan, sementara peserta lain tidak berjaya melepasi masa cutoff untuk tiba di puncak dalam tempoh 3 jam 30 minit.
Kesemua pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga untuk ketiga-tiga kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000, RM6,000, dan RM4,000.
Acara ikonik Climbathon Gunung Kinabalu tahun ini selepas ia dihentikan selama tujuh tahun disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah teknikal dan impak pandemik COVID-19 yang menyukarkan penganjuran acara. -TVS