SIBU, 6 Okt: Sayap Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu terus mengekalkan kepercayaan rakyat Sarawak kepada parti itu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 kelak dalam memimpin Sarawak.
Ketua Pro-Tem Pergerakan Belia PBB Cawangan Dalat, Muhammad Nur Syafiq Wong Muhammad Nur Amirul Iskandar Wong berkata, sehubungan itu beliau mahu barisan Majlis Tertinggi Parti PBB untuk terus menyokong golongan belia yang sedang bergiat aktif dalam perjuangan parti itu.
“Saya menyeru kepada semua belia, bertekad dengan azam yang baharu dan bersatu hati dalam perjuangan kita.
“Saya juga amat yakin dan percaya bahawa dengan kesatuan dan perpaduan yang utuh di bawah kata-kata keramat “Bersatu, Berkorban” dalam Parti PBB kita ini, kita akan terus mendapat kepercayaan rakyat merentas usia di seluruh Sarawak ini, terutamanya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-13,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sayap Pergerakan Belia PBB di sini hari ini.
Pada pilihan raya lalu, GPS yang pertama kalinya bertanding selepas keluar daripada Barisan Nasional selepas PRU-14 mencipta sejarah luar biasa apabila berjaya merangkul sebanyak 76 kerusi DUN Sarawak dengan PBB berjaya meraih 47 buah kerusi.
Tahun lalu, GPS semakin mendapat kepercayaan daripada rakyat Sarawak apabila tiga ADUN daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) bertindak menyokong GPS dengan membubarkan parti itu dan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) serta seorang ADUN bebas menyokong kerajaan dengan jumlah keseluruhan 80 kerusi DUN Sarawak.
Beliau berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerajui Kerajaan Sarawak kini dipandang tinggi di negara ini terutamanya di negeri Sabah apabila dikurniakan pingat tertinggi Kerajaan Negeri Sabah iaitu Pingat Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima.”
“Tentu sekali ini merupakan suatu pengiktirafan yang cukup besar daripada Kerajaan Negeri Sabah atas komitmen Abang Johari dalam usaha memperjuangkan hak dan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia, khususnya untuk Sabah dan Sarawak,” katanya merujuk kepada penganugerahan pingat itu bersempena Hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-71 semalam di Kota Kinabalu, Sabah. – TVS