KUCHING, 6 Okt: Seramai 2,000 peserta menyertai Fit Malaysia (FM) Peringkat Sarawak 2024 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS).
Peserta daripada pelbagai usia mula membanjiri Tebingan Kuching sekitar jam 4.30 pagi.
Pengarah JBSNS Lamat Nyalau berkata, beliau kagum dengan semangat dan komitmen peserta sekali gus menyaksikan misi FM dalam melahirkan rakyat sihat dan cergas tercapai.
“Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan menggunakan program seperti Fit Malaysia sebagai salah satu cara hebahan kepada masyarakat untuk berkongsi kepentingan gaya hidup sihat selain membudayakan aktiviti bersukan dalam kalangan rakyat di Malaysia dan Sarawak.
“Kita semua maklum bahawa ubat yang paling mujarab bagi kesihatan seseorang adalah dengan bersukan selain menyertai aktiviti riadah dan kecergasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai acara larian 10 kilometer yang menjadi salah satu pengisian utama program Fit Malaysia (FM) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini, pada Ahad.
Sementara itu, bagi pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Noor Khaliq Abdul Rahman, 37, beliau dan ahli keluarganya sentiasa menyertai program larian dan kesihatan seperti itu bagi menggalakkan anak-anaknya mengamalkan gaya hidup sihat di usia muda selain menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Ini merupakan aktiviti mingguan kami sekeluarga, di mana selain daripada menerapkan gaya hidup sihat kepada anak-anak kami, aktiviti sebegini turut mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara kami,” ujarnya.
Bagi pekerja swasta, Kethrin Bong, 28, program FM merupakan wadah bukan sahaja untuk beriadah malah ruang untuk menghilangkan tekanan bebanan kerja yang dihadapi sepanjang minggu.
“Saya menyertai program ini untuk menghilangkan tekanan bebanan kerja yang saya tempuhi sepanjang minggu di pejabat selain bersantai dan beriadah,” ujarnya.
Antara intipati program Fit Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2024 termasuklah Jalan Untuk Sihat ‘Fun Walk’ sejauh tiga kilometer, aerobikton dan khidmat urutan oleh terapis Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.
Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2024 dan Jalan Untuk Sihat (JUST) Siri 3 Edisi Pagi Tanpa Kereta ini merupakan anjuran JBSNS bersama rakan strategik antaranya termasuklah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kelab Larian City Jogger’s Padungan (CJC) dan Kelab Kecergasan 1 Kenyalang Kuching.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU Rudzaimeir Malek.-TVS