IPOH, 6 Okt: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penekanan terhadap sesuatu bahasa tidak seharusnya bersifat ’zero-sum game’’, sehingga meminggirkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Beliau berkata sebarang penekanan dalam aliran persekolahan untuk menggunakan bahasa lain seperti Cina dan Tamil tidak sepatutnya mengurangkan penekanan terhadap Bahasa Melayu, yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan dasar Pendidikan Negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penekanan yang sama juga perlu diberi perhatian dalam sektor swasta.
“Memang benar saya antara yang menekankan keperluan penguasaan Bahasa Inggeris dalam dunia yang mencabar, dan penguasaan bahasa Cina atau Tamil, Bahasa Arab dan bahasa lain. Tidak ada negara yang kian meningkat maju yang akan menyisihkan bahasa-bahasa utama di dunia.
“Namun, ini bukan zero-sum game. Penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat perlu dan utama di negara ini, tidak seharusnya meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu yang baik sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Hadir sama Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari.
Anwar berkata pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk mememperkasakan Bahasa Melayu.
“Apabila ini dilakukan, kita akan lebih mudah memberi penumpuan kepada pemerkasaan Bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain,” katanya.
Beliau juga berkata pemerkasaan ekonomi sesebuah negara juga perlu seiring dengan pemerkasaan budaya dan tamadun termasuk bahasa, seni dan sastera.
Katanya kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus komited dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu tanpa meminggir bahasa-bahasa lain.
“Dikatakan Kerajaan MADANI meminggirkan bahasa (Melayu), tetapi di mana sebenarnya peminggiran itu?. Tumpuan kita berikan kepada DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan pendidikan, ketimbang tahun-tahun sebelumnya, jelas sekarang peruntukan dan ruang lebih diberikan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama Anwar turut menyampaikan anugerah Ikon Bahasa kepada tiga penerima iaitu penyanyi lagu-lagu rakyat Roslan Madun, pengacara Ahmad Fetri Yahya dan penyanyi etnik kreatif Hazwan Hazif Rosebi.
Selain itu beliau turut menyampaikan pemenang Hadiah Karya Ilimiah kepada dua penerima iaitu Prof Shamsul Bahari Abdul Razak melalui buku Kelulutologi: Merungkai Misteri Kelulut Alam dan Kehidupan Manusia dan Dr Nafishah Mat Rabi melalui karya Rawatan Alternatif Untuk Kanak-Kanak Autistik.
Kesemua penerima menerima wang tunai dan sijil penghargaan. -TVS