MIRI, 6 Okt: Penganjuran Mega Pesta Orang Kampung Miri 2024 berjaya menarik lebih 60,000 pengunjung dalam tempoh lima hari, sekali gus merangsang ekonomi tempatan dan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat setempat.
Pengerusi Penganjur, Roydy Ismail menyatakan acara tersebut melibatkan lebih 120 vendor yang menjual pelbagai produk termasuk makanan, minuman, fesyen, dan wangi-wangian.
“Sambutan luar biasa diterima daripada penduduk Miri dan juga pengunjung dari Brunei. Pesta ini menampilkan persembahan budaya seperti silat, kompang dan pertandingan tradisional seperti joget lambak serta kebaya cilik,” katanya.
Dalam pada itu, usahawan tempatan, Zarina Paryaz Akthar Khan berkata, pesta ini memberikan impak positif khususnya kepada perniagaan kecil.
“Kami dapat bertemu dengan pelanggan dari pelbagai tempat dan hasilnya lebih ramai orang mengenali produk kami, sekali gus meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Sementara itu, Aried Abdul Kuddus juga berkata, penganjuran pesta ini menjadi platform penting pengusaha kecil memperkenalkan jenama mereka.
“Pesta sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap kerana ia membantu perniagaan kecil berkembang. Saya juga berharap agar pesta ini diperluaskan ke Sabah dan Brunei pada masa akan datang.” katanya.
Pesta Orang Kampung 2024 turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti panggung wayang P. Ramlee dan pameran barangan klasik, memberikan pengalaman nostalgik kepada para pengunjung.
Dengan sambutan yang amat menggalakkan ini, harapan agar Mega Pesta Orang Kampung dapat dianjurkan secara lebih kerap di seluruh Sarawak, Sabah, dan Brunei pada masa akan datang. -TVS