KUCHING, 6 Okt: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas di bulatan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Datu Bandar Haji Muhammad Kasim di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian 3.40 pagi itu, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa berusia 30-an bergerak lurus dari arah Jalan Tun Salahuddin.
“Penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di lokasi kejadian pada jam lebih kurang 4 pagi,” katanya salam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 dan di talian 082-259900 BSPTD Kuching atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Orang ramai adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelakkan kemalangan berlaku serta faktor-faktor lain yang diluar jangkaan,” ujarnya.-TVS