KUCHING, 6 Okt: Memasuki minggu ketiga bagi Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) 2024 menyaksikan pelbagai reaksi daripada anak-anak muda tempatan yang menyertai kejohanan berkenaan.
Rata-rata pemain yang ditemui menzahirkan perasaan gembira kerana dapat tampil beraksi dalam perlawanan pada kejohanan tersebut, selain ada yang turut berasa gementar kerana baharu sahaja kali pertama menyertai pertandingan sedemikian.
Pemain bola sepak kumpulan Basic Soccer bawah 16 tahun (B-16), Muhammad Zikry Jamaludin berkata, dia amat berpuas hati kerana pasukannya berjaya menewaskan lawan, kumpulan All Ways dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan pada Ahad.

“Saya rasa gembira sebab dapat tiga mata. Saya juga dapat jaringkan satu gol dan satu ‘assist’.
“Sasaran kami adalah untuk menjadi juara keseluruhan dan mahu menang tanpa kalah, tapi jika ada satu seri pun tidak apa. Semalam, kami ada menang 3-0 dan hari ini pula 2-0,” katanya ketika ditemui TVS di Kompleks Sukan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Muhammad Zikry juga berharap dapat bermain untuk pasukan Kuching City FC dan mampu melangkah lebih jauh pada masa hadapan untuk mengharumkan nama negara.
Sementara itu, bagi Aisyah Aqilah yang merupakan satu-satunya pemain bola sepak perempuan dalam kumpulan Axis bawah 14 tahun (B-14) pula mengakui banyak cabaran yang dihadapinya semasa mula menyertai pasukan tersebut.

“Cabarannya ialah apabila saya seorang perempuan dan yang lain pula semua lelaki dalam pasukan, jadi ia menyebabkan sedikit susah untuk bermain bola sepak kerana sukan ini memerlukan sentuhan fizikal yang mana kebiasaannya lelaki juga lebih kuat daripada wanita,” katanya.
Namun, jelas Aisyah, walaupun sukan bola sepak lebih sinonim dengan kaum lelaki, dia berpendapat bahawa wanita juga mampu menonjolkan bakat dan kelebihan yang dimiliki dalam sukan tersebut.
Pada kejohanan itu juga, salah seorang pemain berbangsa Cina, Baron Tan berhasrat menyertai pasukannya Basic Soccer B-14 setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya.

“Saya mula bermain futsal pada tahun lepas. Kemudian, tahun ini, rakan saya memperkenalkan saya kepada sukan bola sepak dan selepas itu saya menyertai pasukan Basic Soccer.
“Ibu bapa saya berasa gembira dan saya fikir mereka juga berasa bangga. Saya berharap pasukan kami akan memenangi kejohanan ini dan saya harap dapat menjaringkan banyak gol,” ujarnya.
Dalam pada itu, bapanya, Tan Kok Khiang berkata, walaupun sukan bola sepak selalunya didominasi oleh masyarakat Bumiputera, namun dia sentiasa menggalakkan anak-anaknya untuk mencungkil bakat agar lebih menyerlah dalam sukan berkenaan.
“Ini merupakan kali pertama saya membawa anak-anak saya untuk menyertai kejohanan ini dan saya rasa ia dapat meningkatkan (prestasi) anak-anak muda remaja seperti anak saya.
“Saya tahu sukan ini lebih kepada masyarakat Bumiputera di negara kita dan walaupun saya berbangsa Cina, tetapi saya masih menggalakkan anak saya untuk menyertai aktiviti seperti ini,” katanya.
Tambah Kok Khiang, dia turut memuji inisiatif Petronas menganjurkan kejohanan sedemikian untuk memperkasakan generasi muda dalam sukan bola sepak terutamanya di Sarawak dan berharap kejohanan itu diteruskan pada setiap tahun.
Untuk rekod, kejohanan ini disertai 23 akademi bola sepak dan sekolah dari sekitar Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang melibatkan sebanyak 56 pasukan bersaing dalam empat kategori umur meliputi bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun. – TVS