LIMBANG, 6 Okt: Jalan menuju ke Kampung Pangkalan Jawa dinaiki air susulan hujan dan air pasang serta hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang. Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi bagi memantau keadaan kawasan berisiko banjir jam 10 pagi.
Katanya, sebaik tiba di Kampung Pangkalan Jawa, jalan utama menuju ke kampung itu dinaiki air sedalam satu kaki dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.
“Bagaimanapun keadaan kawasan yang di pantau masih dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bonnie menasihati penduduk di kawasan terjejas untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan berpindah jika tidak selamat. – TVS.