SIBU, 6 Okt: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) menyalurkan bantuan berjumlah RM149,750 kepada mangsa kebakaran di Kampung Hilir Sibu yang berlaku pada 22 September lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia merangkumi bantuan wang saku, makanan, pakaian harian dan peralatan sekolah, kelengkapan tidur, peralatan dapur serta bantuan bahan binaan.
“Kita ada garis panduan untuk memberi bantuan ini mengikut kuantum yang telah ditetapkan.
“Bantuan wang saku ialah RM100 seorang, bantuan untuk pakaian harian adalah RM200 seorang, bantuan pakaian sekolah bagi yang ada anak bersekolah, jika bilangan anak-anaknya tiga orang, maka bantuan untuk pakaian sekolah itu RM600. Kemudian begitu juga dengan peralatan sekolah. Kalau ada tiga orang anak, bantuannya ialah RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada majlis Penyerahan Cek Bantuan Bencana kepada mangsa kebakaran di Kampung Hilir Sibu di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu pada petang Ahad.
Menurut Fatimah jumlah itu turut merangkumi bantuan awal yang telah disalurkan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Darul Ma’wa dua hari selepas insiden kebakaran yang melibatkan 17 buah rumah terbabit.
Bagi bantuan bahan binaan, Fatimah berkata, sebanyak RM5,000 akan disumbangkan sekiranya rumah musnah sepenuhnya.
“Sekiranya tidak, penilaian akan dibuat oleh pegawai kami untuk menentukan jumlah bantuan bahan binaan yang harus diberikan,” ujarnya.
Tambahnya, kebanyakan mangsa kebakaran tersebut telah ditawarkan dan kini menyewa flat di Rantau Panjang Sibu buat sementara waktu atas inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Katanya, mereka yang tinggal di situ diberikan subsidi sewa RM120 bagi setiap keluarga selama enam bulan.
Selepas tempoh tersebut, Fatimah menyarankan mereka memohon bantuan sewa rumah yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). -TVS