LIMBANG, 6 Okt: Penggiat industri kreatif dan seni persembahan di Sarawak perlu terus berkarya termasuk menghasilkan buku, novel dan dokumentasi dalam mengangkat serta mempromosikan suasana harmoni kepelbagain etnik Sarawak kepada dunia luar.
Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Seni, Budaya dan Warisan Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan Dr Elena Chai berkata, kementerianya sentiasa menyokong anak Sarawak dalam menghasilkan karya.
Menurutnya, bidang seni kreatif mempunyai prospek luas termasuk memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.
“Industri kreatif ini boleh memberi satu peluang pekerjaan dan pada masa panjang memberi satu sumbangan ekonomi kepada anak Sarawak.
“Kementerian kita membantu dari segi penerbitan buku seperti yang dilaksanakan di Miri, kami menyaksikan pelancaran buku, tiga buku novel dan sebuah buku berkenaan sejarah sosial Iban dan Penan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pertandingan Nyanyian Mandarin Peringkat Negeri Sarawak, kategori lelaki, wanita, veteran lelaki dan wanita sempena ulang tahun ke -46 Limbang Monsen Music Club di Purnama Hotel, malam tadi.
Jelas Dr Elena, Sarawak mempunyai bakat berpotensi untuk diasah dan dikembangkan selain mempunyai keyakinan untuk berdiri di atas pentas ketika membuat persembahan.
Penggiat seni juga katanya perlu merebut peluang untuk terus berkarya dalam penghasilan buku, novel dan dokumentasi dalam bidang seni sastera yang merupakan antara 19 subkategori yang ada dalam industri kreatif di Sarawak. – TVS