GEORGE TOWN, 5 Okt: Beberapa bangkai kucing ditemukan disimpan di dalam peti sejuk beku di sebuah rumah didiami pasangan warga emas di Paya Terubong di sini, Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan sejumlah bangkai itu pada 9 Ogos selain laporan pertama pernah diterima pada 12 Julai 2022.
Menurutnya, JPV melakukan serbuan ke atas premis itu dan membuat persampelan karkas tersebut, namun mendapati tiada unsur penganiayaan terhadap haiwan itu.
“Persampelan telah dibuat semasa kedua-dua aduan diterima dan keputusan bedah siasat karkas pada 2022 mendapati kematian kucing adalah disebabkan semulajadi.
“Bagaimanapun, keputusan bedah siasat (kes) terkini tidak dapat dibuat kerana karkas telah autolisis iaitu tisu badan mula hancur secara semula jadi akibat tindakan enzim dalam tubuh selepas mati,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat yang memaparkan beberapa bangkai kucing berbungkus plastik secara berasingan ditemukan disimpan di dalam peti sejuk beku.
Berdasarkan rakaman itu, seorang wanita mendakwa ia dijumpai di rumah jirannya ketika dia pergi ke rumah itu untuk memeriksa keadaan anak angkat pasangan berkenaan yang sering datang ke rumahnya dan mengadu tidak mendapat makanan yang cukup.
Rakaman itu turut memaparkan sekurang-kurangnya sepuluh ekor kucing masih hidup dikurung dalam bekas pengangkut kucing selain beberapa ekor anjing berkeliaran di dalam rumah.
Sementara itu, Saira Banu menasihati orang ramai agar tidak menyebar atau berkongsi mengenai insiden tersebut yang boleh boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya pencinta haiwan. – TVS