KUCHING, 5 Okt: Penubuhan pusat kecerdasan buatan (AI) pertama di Sarawak yang dijadualkan bermula tahun depan bakal menjadi aspek penting dalam memperkasa belia terutama dalam bidang teknologi elektronik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat itu akan menyediakan peluang pembelajaran dan latihan komprehensif sekali gus membolehkan belia mengasah kemahiran serta meneroka potensi inovasi dalam teknologi AI.
“Kita perlu menyambut baik transformasi digital sepenuhnya. Pada bulan Ogos, kita telah mengumumkan penubuhan pusat kecerdasan buatan (AI) yang dijadualkan dibina tahun depan.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa belia dalam menggunakan kecerdasan buatan dan teknologi elektronik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2024 di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, penubuhan pusat AI tersebut diluluskan kabinet dan peruntukan bagi menguruskannya termasuk generatif AI perlu disediakan.
Selain itu menurutnya, mulai 2026, pendidikan percuma akan diberikan kepada anak tempatan yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak.
“Program ini juga termasuk bantuan untuk pemberian komputer, buku dan subsidi bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi memastikan akses lebih luas kepada pendidikan berkualiti.
“Selain itu, sebuah makmal perintis Common Science akan dilancarkan tahun ini di Biovalley Senadin Miri. Inisiatif ini bertujuan menyokong pelajar, ibu bapa dan ahli akademik dalam memastikan pendidikan berkualiti disediakan seterusnya melahirkan tenaga kerja mahir di Sarawak,” ujarnya.-TVS