GEORGE TOWN, 5 Okt: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan jualan sektor hartanah negara boleh mencapai RM200 bilion tahun ini iaitu sekali ganda nilai yang ditetapkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian itu.
Menterinya Nga Kor Ming berkata, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) merekodkan jualan sebanyak RM100.5 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding sasaran pihaknya sebanyak RM100 bilion untuk sepanjang tahun.
Menurutnya, hal itu secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi negara di samping sektor lain yang terlibat.
“Sektor hartanah berkait rapat dengan 200 sektor industri termasuk kontraktor, subkontraktor, perabot, elektrik, perbankan, pejabat perundangan dan lain-lain.
“Apabila sektor hartanah ini berkembang dengan sihat khususnya rumah-rumah mampu milik, kita akan dapati lebih banyak peluang pekerjaan untuk semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Ideal Residency, Bukit Gelugor di sini.
Turut hadir Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff dan Pengerusi Ideal Property Group, Datuk Alex Ooi Kee Liang.
Projek terdiri daripada 1,218 unit berkeluasan 850 kaki persegi yang dibangunkan PR1MA itu dijual pada harga RM300,000 seunit.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, KPKT akan membangunkan perisian analitik data besar yang akan dibekalkan kepada pemaju dalam usaha membekalkan projek perumahan mengikut keperluan.
Ujarnya, perisian itu akan digunakan dalam mengenal pasti lokasi, jenis rumah dan kos bagi mengelakkan projek tidak terjual dan menjadi gajah putih apabila siap kelak. – TVS