KUCHING, 5 Okt: Kerajaan Persekutuan mengiktiraf bakat dan kemahiran graduan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau kagum melihat hasil tangan graduan CENTEXS dalam pelbagai bidang selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut.
“Saya sangat terpegun dengan pencapaian yang dibuat CENTEXS dalam pelbagai bidang. Saya menumpukan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET). Hi-TVET dilaksanakan bukan hanya dalam bidang elektronik dan bidang teknikal tetapi saya terpegun dengan hasil kerja tangan halus graduan CENTEXS.
“Saya berharap ia dapat dipasarkan dan diedarkan di pasaran dan saya fikir dari segi pasarannya cukup luas dan ini harus digalakkan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Juma’ani Pavillion di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan serta Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkongsi mengenai Belanjawan 2025 yang mana pembangunan sektor tekno usahawan menjadi antara fokus kementeriannya.
Jelas Zahid, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam mewujudkan lebih ramai usahawan yang memiliki latar belakang Hi-TVET.
“Kita menumpukan kepada sektor tekno usahawan yang mana usahawan ini lebih kepada teknologi dan teknik baharu.
“Jadi hal ini dalam belanjawan pada 18 Oktober ini, KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) antara kementerian yang menumpukan kepada usaha melahirkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berlatar belakangkan Hi-TVET,” ujarnya.
Terdahulu pada sebelah pagi, Zahid menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di CENTEXS.-TVS