KUCHING, 5 Okt: Walaupun berlainan gaya seperti gaya nyanyian dan teknik lontaran suara, ia tidak menjadi penghalang kepada Aruel & The FaSoLa melakukan persembahan dalam Kuching Jazz Festival malam ini, kata Aruel.
“Mazlina (vokalis The FaSoLa) merupakan senior saya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan beliau pakar dalam genre pop jazz moden manakala saya dalam bidang klasik. Saya akui memang sukar tetapi kami cuba untuk mencari keserasian itu.
“Saya aktif menyanyikan lagu Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan melatih dari segi vokal namun bagi Mazlina, beliau juga pakar dalam resitatif. Saya akui penyampaiannya berbeza namun kami mempunyai kadar tenaga yang sama,” katanya kepada pemberita ketika sesi sidang media Kuching Jazz Festival di sini, hari ini.
Aruel yang juga juara Getaran Jiwa rancangan nyanyian terbitan TVS mengakui dirinya bersama The FaSoLa menghadapi kekangan dari segi tempoh latihan dan kelapangan ahli kumpulan.
“Sejujurnya sukar untuk seimbangkan masa sebagai penyanyi dan guru vokal namun saya bertuah ada yang menguruskan jadual persembahan dan mengajar saya,” ujarnya.
Untuk rekod, Aruel memulakan kerjayanya dengan The FaSoLa pada tahun 2022 sekali gus Kuching Jazz Festival 2024 merupakan persembahan sulung mereka di peringkat yang besar.
Aruel & The FaSoLa juga dikenali sebagai kumpulan yang sentiasa mendendangkan lagu klasik seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma yang diberikan nafas baharu – TVS