LUNDU, 5 Oktober: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) terus komited memberikan gambaran jelas kelebihan dan peluang melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pasaran perkerjaan masa kini.
Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, TVET kini menjadi asas kepada ekosistem pendidikan baharu kepada kebolehpasaran graduan dalam sektor pekerjaan.
Menurutnya, pada era revolusi indusrti 4.0, cabaran terbesar dihadapi belia adalah untuk menempatkan diri dalam industri pekerjaan.
“Kini mereka perlu bersaing dari segi soft skill, kemahiran teknikal dan kemahiran lain seperti penguasaan kecerdasan buatan (AI), perkomputeran dan banyak lagi sebagai nilai tambah pada diri mereka.
“Kelebihan inilah yang dianggap dan dipandang tinggi oleh majikan kerana mempunyai nilai tinggi dalam pasaran pekerjaan secara praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif TVET HRD Corp-CENTEX Cormercial dan Perasmian Hab Latihan E-Sport di Lundu pada Sabtu.
Tambah Mohamad Morshidi, sebagai sebuah pusat pengajian TVET, CENTEXS turut mempunyai pengiktirafan pensijilan di peringkat antarabangsa.
Antaranya Huawei, Bosch Rexroth dan RSK yang diakui sebagai peneraju dalam pembangunan modal insan serta teknologi inovatif.
Pengiktirafan itu katanya sekali gus memberikan kelebihan tertentu kepada graduan CENTEXS untuk bersaing dalam pasaran kerjaya sama ada di peringkat tempatan atau global.-TVS