LIMBANG, 5 Okt: Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian sewajarnya kepada infrastruktur asas, baik pulih klinik dan sekolah daif dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia memerlukan peruntukan besar terutama dalam membangunkan infrastruktur dan membaik pulih selain pelaksanaan program peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Kita memang memerlukan peruntukan lebih besar sama ada untuk tujuan infrastruktur asas dan kemudahan lain termasuk pendidikan dan kesihatan.
“Ini perlu diberi tumpuan dan begitu juga untuk program meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat dari segi ekonomi, pendidikan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Residen Limbang Yunus Tambi dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah baik prosedur dan mekanisme yang ditetapkan dalam pelaksanaan sesuatu projek.
Katanya, prosedur dan mekanisme terlalu rumit menyebabkan projek pembangunan tidak dapat dijalankan sehingga penghujung tahun meskipun sudah diberi peruntukan.
Mengulas lanjut katanya Sarawak masih memerlukan perlaksanaan lebih banyak kemudahan asas yang masih jauh ketinggalan selain aspek pendidikan, kesihatan, telekomunikasi dan sebagainya.
Oleh itu katanya, pelaksanaan sesuatu projek perlu diperhalusi agar dapat dilaksanakan dengan cepat sejajar dengan keperluan rakyat. – TVS