MIRI, 4 Okt: Pengiktirafan kepada pekerja dipercayai menyemai budaya kerja yang positif sekali gus membentuk persekitaran yang progresif, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Menurutnya pengiktirafan (Employee Recognition) kini dilihat sebagai elemen penting dalam mengekalkan pekerja berkualiti serta membina budaya kerja yang positif dan progresif dalam sesebuah syarikat.
“Program seperti ini mampu meningkatkan moral pasukan. Apabila seorang pekerja atau satu pasukan diberikan penghargaan, ia dapat menyuntik semangat kepada pekerja lain untuk berusaha lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penghargaan Pekerja Masyarakat Penan (Metalun) anjuran Danum Sinar Sdn Bhd di sini, pada Jumaat.
Menurut Gerawat, pengiktirafan pekerja membantu menyemai budaya memperbaiki diri di kalangan pekerja, satu aspek penting dalam membentuk persekitaran kerja yang progresif.
“Penerapan budaya Employee Recognition ini juga dapat memupuk budaya kerja positif dengan menanamkan sifat ingin memperbaiki diri,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, persaingan sihat di kalangan pekerja turut memainkan peranan besar dalam memacu perkembangan syarikat.
“Seperti budaya kerja memperbaiki diri, Employee Recognition juga mampu mencipta persaingan yang sihat dalam syarikat, yang akhirnya menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan yang lebih pesat,” ujarnya.
Majlis ini turut diserikan dengan penyerahan Anugerah Program Latihan Pekerja Masyarakat Penan 2024 serta Majlis Anugerah Perkhidmatan, bertujuan menghargai pencapaian dan dedikasi pekerja Masyarakat Penan dan kakitangan syarikat yang telah menyumbang kepada kejayaan Danum Sinar Sdn Bhd. -TVS