SUNGAI BULOH, 4 Okt: Arus deras banjir yang menjejaskan ratusan rumah di Kampung Kubu Gajah di sini menyebabkan penduduk kampung terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tengah malam tadi.
Seorang mangsa, Noraishah Abdullah, 48, berkata air mula naik sekitar pukul 5 petang dan pada mulanya dia menyangkakan keadaan akan cepat pulih.
Namun katanya sekitar pukul 11 malam keadaan makin teruk apabila air dalam rumahnya mencecah paras lutut.
“Saya bimbangkan keselamatan anak – anak, mungkin berlaku kebocoran arus elektrik dan sebagainya, jadi saya bersama suami dan dua anak keluar rumah.
” Ketika itu air di luar rumah sudah mencecah paras dada, dengan bantuan bot bomba, kami dibawa ke jalan utama,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Kenangan, Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling di sini hari ini.
Noraishah merupakan antara 290 mangsa daripada 56 keluarga yang masih berlindung di PPS berkenaan setakat pukul 4 petang tadi.
Sementara itu Noraishah memberitahu, pada tahun ini rumahnya sudah dilanda empat kali dilanda banjir.
“Saya lebih bersedia apabila menyimpan dokumen penting termasuk surat beranak anak di tempat lebih tinggi dan meletakkan kereta dan motosikal di tempat yang tidak ditenggelami air.
“Ketika berpindah malam tadi, saya dan keluarga pada mulanya ke PPS lain di Paya Jaras namun dimaklumkan sudah penuh dan terpaksa datang ke sini,” katanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Ahmad Fakhrul Radzi berkata banjir malam tadi merupakan kali ketiga pada tahun ini dihadapi dia sekeluarga yang tinggal di Kampung Kubu Gajah 24.
“Air mula naik sekitar pukul 5 petang dan keadaan bertambah teruk pada pukul 6 petang apabila rumah saya mula dimasuki air,” kata pekerja swasta itu.
Ahmad Fakhrul yang pulang meninjau keadaan rumahnya pagi tadi berkata, dia menganggarkan kerugian kira- kira RM1,000 selepas perabot rosak ditenggelami banjir.
Sementara itu selain Shah Alam, beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Gombak turut dilanda banjir.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan setakat pagi tadi, seramai 1,968 individu daripada 480 keluarga terjejas dipindahkan ke enam PPS di Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor. -TVS.