BINTULU, 4 Okt: Seorang lelaki warganegara Indonesia diberkas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di Jalan Masjid di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, tangkapan suspek berusia 21 tahun itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik(BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.
“Suspek telah disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan berat kasar rampasan dadah disyaki jenis syabu dianggarkan 5.3 gram.
“Hasil ujian saringan awal polis didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine dan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek juga ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/63 kerana tidak dapat menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah memasuki Sarawak.
“Hasil siasatan awal dipercayai dadah untuk pengedaran di sekitar kawasan Samalaju boleh digunakan untuk 20 hingga 25 orang penagih.
“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 boleh di penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Sek.15(1)ADB 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun,” tegasnya.-TVS